Mar 16, 2011

Cengeng (Cerita Dongeng) : Hana Batrisya Chua

“Trisy! Trisy!” laung Umaira sambil berlari ke arah Batrisya yang sedang bersantai di taman mini sekolah.

“Kenapa dengan kau ini? Macam kena kejar hantu saja!” ujar Batrisya.

“Ada abang form 4 nak kenal dengan kau. Dia cakap dia suka dengan kau,” kata Umaira tercungap-cungap akibat berlari pecut dari pintu pagar utama ke belakang dewan.

“Merepeklah kau ini! Tak mungkin aku. Salah orang kut. Aku rasa dia nak kenal dengan kak Sha form 4 itu. Nama dia Batrisha juga kan? Bukannya aku. Kau sudah salah orang ini,” tingkah Batrisya.

“Betullah. Ada orang lain lagikah yang bernama Hana Batrisya Chua dalam Tingkatan 3 Bestari? Kau seorang saja, kan? Jadi, memang sahlah kau orangnya!” balas Umaira.

“Sudahlah Maira. Jom pergi dewan. Sekejap lagi perhimpunan hendak bermula,” kata Batrisya seraya menarik tangan Umaira.

*******
Kotak memori Batrisya ligat memutarkan kenangan lama. Kenangan ketika dia di alam sekolah menengah. Satu persatu kenangan yang berkaitan dengan lelaki itu bermain di minda. Terasa seperti baru semalam peristiwa itu berlaku. Detik di mana seorang lelaki bernama Amsyar wujud dalam kamus hidupnya.

“Trisy? Trisy? Are you okay?” tegur satu suara. Batrisya tersentak! Sekali gus membuatkannya kembali ke alam nyata.

“Maira! I’m totally fine,” balas Batrisya. Dia cuba mengukir senyuman seikhlas yang mungkin. Namun dia sendiri dapat rasakan betapa palsunya senyuman itu.

“Kenapa dengan kau? Sedih semacam saja. Ada masalahkah?” soal Umaira prihatin. Batrisya menggeleng laju. Ah! Tak mungkin dia akan menceritakan apa yang bermain di mindanya pada Umaira. Sekurang-kurangnya bukan sekarang.

“Trisy, aku dah kenal lama dengan kau. Ceritalah apa masalah kau. Mungkin aku boleh tolong.” Umaira cuba mengorek.

“Tak ada apa-apa. Aku cuba teringat kenangan kita masa sekolah menengah. Rindunya dengan saat itu!” Batrisya menjerit kecil dan tersenyum.

“Betul cakap kau. Tak sangka kita semua dah besar. Kau pun sudah mahu kahwin. Haih, rindunya!” Umaira turut sama mengenang memori lama.

**********
“Err..Trisy, aku terbagi nombor telefon kau pada abang form 4 itu,” kata Umaira membuka cerita pada satu petang. Kerisauan tahap lampau tampak jelas di wajahnya. Risau Batrisya akan meletup!

“What?!” jerit Batrisya. Bulat mata Batrisya memandang Umaira. Seperti hendak ditelannya Umaira yang kecil itu. “Macam mana boleh terbagi pula ini? Terbagi atau memang sudah berniat hendak bagi?” soal Batrisya menduga.

“Err... Aku memang ada niat nak bagi. Tapi tak berani. Yalah, kau mesti marah punya!” balas Umaira.

“Minggu lepas masa kau tengah sibuk tolong Mr. Vincent dengan Treasure Hunt, abang form 4 itu belanja aku makan. Aku mestilah terima. Rezeki jangan ditolak! Aku ingatkan dia saja nak habiskan duit dia. Rupa-rupanya ada udang di sebalik mee goreng!” sambung Umaira panjang lebar.

“Hmm... Okay!” ringkas saja jawapan Batrisya. Perhatiannya kembali ditumpukan kepada buku latihan yang terbentang luas di atas meja. Umaira tercengang! Batrisya tak marah? Pelik! Selalunya dia akan marah-marah.

“Kau tak marah?” soal Umaira penuh tanda tanya. Batrisya hanya menggeleng. Umaira menggaru kepala yang tidak gatal. Batrisya tersenyum lalu menutup buku latihannya dan mengemas barang-barangnya yang
berselerakkan di atas meja kecil itu.

“Aku rasa sudah sampai masa aku lupakan Zack dan teruskan hidup,” kata Batrisya seakan-akan dapat membaca apa yang menari-nari di dalam minda Umaira.

“Jadi kau tolak semua lelaki yang nak berkenalan dengan kau sebab Zack?” Umaira membuat spekulasi. Batrisya mengangguk. “Bukan sebab kau nak focus pada pelajaran?” sambung Umaira lagi. Batrisya menggeleng.

“Nanti kau suruhlah abang form 4 kau itu mesej aku. Insyaallah aku balas.” Batrisya sempat berpesan sebelum mengangkat punggungnya. Dia mula berjalan lenggang-lenggok pulang ke rumah. Senyuman manisnya setia melekat di bibir.

*******
Telefon bimbit Batrisya menyanyi minta diangkat.

“Hello!” sapa Batrisya ceria.

“Assalamualaikum,” ucap satu suara lunak di hujung talian. Sayup kedengaran suara Batrisya menjawab salam.

“Nak cari siapa ya?” soal Batrisya. Dia sememangnya tidak mengenali pemanggil tersebut.

“Batrisya,” jawab suara lunak itu pendek.

“Ya, saya. Siapa ini?” balas Batrisya.

“Erm... Saya Amsyar,” suara lunak itu memperkenalkan dirinya.

“Amsyar? Amsyar mana ya?” Tidak pernah pula Batrisya mendengar nama itu. Seingat dia, tidak ada pelajar kelasnya yang bernama Amsyar.

“Amsyar Haikal, Tingkatan 4 Maju. Umaira tak ada cerita fasal saya pada awak?” soal Amsyar lembut.

“Oh awak... Maaf. Umaira ada cerita fasal awak. Eh, bukan ada tapi selalu. Hari-hari cakap fasal awak saja. Tapi tak ada pula dia beritahu nama.”

“Habis itu? Apa yang dia panggil saya? Mr. Anonymous? Mr. Admirer?” Amsyar cuba membuat lawak. Batrisya tertawa perlahan.

“Bukanlah. Erm... Abang Form 4 atau Abang Senior saja.” Batrisya tergelak di hujung kata. Amsyar juga tergelak.

“Alah, tak glamornya nama!” balas Amsyar dalam nada merajuk. Batrisya hanya ketawa.

Mulai dari saat itu, terjalinlah satu ikatan persahabatan antara dua insan yang berbeza. Semakin hari mereka semakin rapat. Sudah seperti adik-beradik. Umpama isi dan kuku. Bagai aur dengan tebing! Melekat bak belangkas! Setiap kali rehat mereka akan makan bersama disertai Umaira. Orang tengah antara mereka mana boleh dilupakan! Setiap petang tiga orang pelajar itu akan belajar bersama-sama. Maklum saja, Batrisya dan Umaira bakal menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi manakala Amsyar pula akan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun hadapan. Jadi, tentunya mereka perlu belajar bersungguh-sungguh! Setiap hujung minggu pula, mereka akan menghabiskan masa di pusat membeli-belah untuk merehatkan minda yang telah diperah dan dipaksa untuk menerima ilmu. Boleh tertekan sekiranya dua puluh empat jam menghadap buku tanpa henti!

********

Waktu berlalu dengan begitu pantas. Sudah setahun mereka berkawan. Menempuh suka dan duka bersama. Hari ini, hari ulangtahun persahabatan mereka, Amsyar mengajak Batrisya keluar bagi meraikan sambutan ini.

“Trisya, saya ada sesuatu nak tanya awak,” suara lunak Amsyar memecah kesepian yang melanda isi perut kereta Perodua Myvi miliknya.

“Apa dia?” soal Batrisya sambil memalingkan wajahnya ke arah Amsyar.

“Err... Rasanya tak sesuai tanya sekarang. Nantilah!” Amsyar menukar fikiran.

“Hmm... Okay. Tapi... Kita nak pergi ke mana ini?” soal Batrisya.

“Taman Tasik Titiwangsa nak?” cadang Amsyar. Batrisya mengangguk perlahan.

*********

“Am, apa yang awak nak tanya saya masa dalam kereta tadi?” soal Batrisya sebaik saja mereka melabuhkan punggung di atas sebuah bangku. Amsyar menarik nafas dalam-dalam sebelum membuka bicara.

“Hmm... Saya harap persahabatan kita tak akan terjejas sebab ini,” kata Amsyar. Dia tunduk merenung bumi. Batrisya sabar menanti kata-kata yang bakal keluar dari mulut Amsyar. “Hana Batrisya Chua, sudi tak awak jadi girlfriend saya?” luah Amsyar yang sedang merenung tepat anak mata Batrisya. Batrisya terdiam seketika. Perlahan-lahan bibirnya bergerak mengukir senyuman penuh makna.

“Saya rasa awak sudah tahu apa jawapan saya, Amsyar,” balas Batrisya, masih lagi tersenyum.

“Maksud awak, awak sudi?” soal Amsyar. Batrisya mengangguk yakin. Amsyar tersengih. Spontan dia memeluk erat Batrisya.

“I love you, Hana Batrisya Chua,” bisik Amsyar ke telinga Batrisya yang erat dalam dakapannya. Batrisya hanya mampu tersenyum. Dia masih belum bersedia untuk mengucapkan kalimah keramat itu.

*********

“Saya rasa lebih baik kita putus,” kata Amsyar pada satu petang. Lemah segala tulang dan sendi Batrisya mendengar kata-kata itu. Dia cuba melawan air mata yang mahu tumpah. Batrisya mencari kekuatan untuk terus berada di situ dan cuba selesaikan dengan cara baik. Tak perlulah mereka bermusuhan.

“Kenapa?” Akhirnya Batrisya berjaya menggagahkan diri menyuarakan soalan yang bermain di mindanya.

“Saya bosan dengan perangai awak yang cemburu tak bertempat. Saya bukan playboy. Tapi awak tak percaya pada saya. Awak lagi percayakan orang luar daripada saya. Awak langsung tak nak dengar penjelasan saya. Apa makna sesebuah hubungan itu kalau tak ada kepercayaan? Lebih baiklah kita putus daripada terus menyakitkan hati sesama sendiri,” balas Amsyar panjang lebar.

“Am, kita tak perlu putus. Saya boleh berubah. Tolong bagi saya satu lagi peluang,” ujar Batrisya separuh merayu.

“Maaf, Batrisya. Semuanya sudah terlambat. Hati saya sudah tertutup untuk awak.”

“Okay. Terima kasih.” Pendek saja jawapan Batrisya. Tanpa membuang masa, Batrisya terus mengorak langkah berlalu dari situ. Laju sekali derap kakinya. Entah ke mana hala tujunya, dia sendiri tidak pasti. Apa yang pasti, dia perlu beredar dari situ dengan segera.

**********

Beberapa bulan berlalu. Batrisya masih belum dapat melupakan Amsyar. Batrisya hanya pura-pura gembira di hadapan rakan-rakannya. Gelak ketawa dan senyuman Batrisya terlampau palsu. Tetapi dia siapa yang perasan akan senyuman plastik itu.

Amsyar adalah cinta pertamanya. Jadi tentulah sukar untuk melupakannya. Ya, penangan cinta pertama memang hebat! Hampir setiap malam Batrisya menangis teringat akan Amsyar. Tangisan yang sangat perlahan dan hanya boleh didengari oleh teman tidur Batrisya, Bearie.

*******

Satu hari, Batrisya terserempak dengan Amsyar di sebuah kompleks membeli-belah. Ketika itu Amsyar bersama seorang perempuan. Mesra sekali gelagat mereka. Saat itu, Batrisya tahu. Sudah sampai masanya untuk dia teruskan hidup. Sekiranya Amsyar boleh bersuka ria bersama perempuan lain, mengapa tidak dia? Batrisya mengambil keputusan untuk membuang jauh-jauh nama Amsyar dari kamus hidupnya.

Berkat bantuan Umaira, Batrisya berkenalan lagi dengan seorang lelaki. Lelaki tersebut ialah abang angkat kepada Umaira, Airil. Pada mulanya, sukar bagi Batrisya untuk menyayangi Airil kerana dia takut ditinggalkan lagi. Tetapi selepas beberapa kali Batrisya menguji Airil, dia yakin bahawa Airil adalah orang yang ditunggunya selama ini.

*********

Pada hari ulang tahun pertama Batrisya dan Airil, Amsyar tiba-tiba memunculkan diri. “Batrisya, maafkan saya. Saya sebenarnya tak boleh hidup tanpa awak. Kembalilah pada saya Trisya. Saya sayangkan awak,” luah Amsyar tanpa segan-silu.

“Maaf. Tetapi semuanya sudah terlambat Amsyar. Pintu hati saya sudah tertutup untuk awak. Tempat awak sudah diisi oleh orang lain. Jujur saya katakan, saya masih sayangkan awak. Tetapi saya lebih cintakan Airil. Baliklah Amsyar. Saya tak perlukan awak lagi. Teruskanlah hidup awak,” balas Batrisya sebelum mengajak Airil beredar dari situ.

********

“Trisy, pengantin lelaki sudah sampai!” jeritan Umaira menyedarkannya dari lamunan. Batrisya tersenyum. Hari ini hari bahagianya. Hari ini dia akan bergelar isteri orang. Jelas tampak seri pengantin di wajahnya.

“Trisy, kau menangiskah?” soal Umaira yang tiba-tiba muncul di hadapan Batrisya.

“Tak adalah,” nafi Batrisya.

“Habis? Kenapa mata kau berair?”

“Erm.. Aku teringat cerita lama.”

“Sudahlah. Whatever happened in the past, stays forever in the past. Ingat itu!” Dua sahabat karib itu berpelukan.

Sungguh, ramai yang membantah hubungan Batrisya dan Airil. Batrisya yang cantik dan kaya tidak sesuai dengan Airil yang langsung tidak ada rupa dan harta. Tetapi pada Batrisya, dia jatuh cinta bukan kerana harta tetapi perwatakan dan sikap Airil. Batrisya yakin, keputusannya menerima lamaran Airil adalah keputusan yang terbaik.

Sekian.

P/S : I wrote this last year when I was with Encik Abang. Hahah.

No comments:

HUMAN - CHRISTINA PERRY

Hai, assalamualaikum! 大家好! 我是 Aiza and 欢迎来到 my blog.  昨天是 mummy 的生日. And i had a mental breakdown. I finally broke down.  And cried for a go...